27 February 2013

Berubah

Meter kereta menunjukkan tanda kelajuan sudah mencecah 90km sejam. Namun, apabila ada kereta yang lebih laju mendesup memotong tanpa memberikan sebarang isyarat, dek kerana geram, ditekan pedal minyak naik ke 110km sejam. Tidak dikira keselamatan diri. Darah muda yang panas membara diikutkan, lalu berlakulah perlumbaan jalanan yang tidak memberikan apa-apa kesan melainkan keburukan sahaja.

Kejadian lain, sebuah kereta mewah tiba-tiba masuk ke laluan sebelah kanan tanpa memberikan isyarat lampu menyebabkan pemandu di belakangnya terpaksa menekan brek secara mengejut. Lalu berlakulah ngomelan tidak enak dilemparkan kepada pemandu kereta mewah tersebut yang mungkin pada dasarnya adalah bijak pandai jika dinilai hanya dari kereta yang dipakai.

Benarlah kata orang ke kata aku yang perangai orang itu akan berubah apabila tangan yang dua itu memegang stereng kereta. Kalau di luar kereta, perangai lemah lembut, sopan santun, baik budi pekerti, pendiam sahaja. Tapi bila sahaja stereng berada di genggaman, terbang semua nilai-nilai murni itu dihembus angin kencang yang masuk dari tingkap kereta. Terus hilang tidak terkesan. Bolehkah dinilai seseorang itu melalui pemanduannya?Hmmmm....teringat kata-kata seorang penceramah di tv. Seorang yang baik dan beriman, walau di mana sahaja berada, beliau akan sabar menghadapi setiap keadaan yang melanda, hatta di dalam kereta seorang diri pun.

Jadi, jikalau nak marah bilamana ada kereta yang sesat nak masuk line anda, silalah berfikir 5 sebab kenapa nak marah, dan kemudian fikirkan kembali, mungkin kita pernah berbuat perkara yang sama kepada orang lain. Bak kata Prof Muhaya, cuba muhasabah diri balik apabila kita dikelilingi orang-orang yang negatif. Mungkin kita sendiri yang negatif. Dan paling penting, bila nak marah, ingatkan diri, kalau Rasullullah s.a.w ada di samping kita, sanggupkah kita menunjukkan sifat mazmumah tersebut? Mesti langsung tak sanggup kan.

Sekarang sedang berusaha dengan giat untuk mengurangkan kecaman-kecaman hebat kepada pemandu lain, sebab bila memandu berseorangan, membebel sendiri seperti orang kedua yang menemani. Balik ke kampung kelmarin, saya menjadi orang yang sedikit sahaja baik. Moga berterusan, insyaAllah :)

Eh, kan dah cakap rajin nak balik kampung walaupun projek tak mula lagi.

24 February 2013

Rajin

Rajin ini sifat mahmudah. Lawannya malas. Kemalasan itu adalah satu virus yang kalau dibiarkan boleh merosakkan diri. Ye, sifat yang secara amnya ada pada setiap orang. Yang membezakan sama ada sedikit atau banyak.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi Internet tak rajin nak beli dan bukak kamus besar tu oiii , rajin bermaksud tekun, bersungguh-sungguh, gigih dan giat. Contoh ayat untuk perkataan rajin tersebut adalah: Norliyana seorang budak yang rajin. Dia sangat ringan tulang dalam membantu ibunya melakukan kerja-kerja rumah. Perkataan yang dihitamkan itu adalah perkataan yang digunakan untuk hari ini. Manakala perkataan yang disengetkan adalah peribahasa yang boleh digunakan hari-hari. Bahasa Inggerisnya, rajin dapat diterjemahkan kepada hardworking, diligent, industrious. Ini semua boleh dirujuk ke laman web makcik merriam. Ate, kalau bahasa inggeris tunggang langgang macam mike, kenela bukak juge.

Oleh kerana hari ini berasa terlebih rajin, saya telah mengemas apa-apa yang patut kat blog ni. Ye, dulunya sangat comot, caca marba, tapi sekarang, sudah kurang sedikiiiit kecomotannya. Ada tulisan-tulisan yang serasanya perlu dibuang dan dinyahkan terus dari alam maya ini, tapi perasaan sayang membelenggu diri. Rajin juga hari ini apabila membuat keputusan untuk menggerakkan jari-jari yang dua ini hanya dua sahaja yg digunakan untuk menaip dan membuat pos mengenai betapa rajinnya saya pada hari ini. Tidak, bukan riak atau takbur. Jauh sekali. Rajin juga apabila  berusaha membersihkan folder-folder dalam laptop dan menamakannya semula untuk kemudahan masa hadapan.

Tepuk bahu sendiri kuat-kuat sebagai motivasi diri untuk menjadi lebih rajin. Tepuk bahu sendiri kuat-kuat lagi untuk bangun dari couch dan isi borang yang perlu dihantar esok dan menyusun baju. Kata rajin nak balik rumah minggu ni.

Sekian.