10 March 2013

Bersangka baik

Tajuk pos yang seperti kebiasaannya tidak lebih daripada 3 perkataan. Tak menarik. Bak kata cikgu yang pernah mengajar buat blog dulu, tajuk juga memainkan peranan penting dalam menarik trafik datang ke blog kita, bukan isi sahaja. Kalau isi sudah bagus, tetapi tajuk tidak ada ummph, pun tidak boleh juga. Bukan semua bertindak "Don't judge the book by its cover."

Sebab lumrahnya manusia suka akan sesuatu yang menarik dan cantik pada lahiriahnya. Baju mahu yang cantik- cantik. Rumah mahu yang besar dan selesa. Suami atau isteri  yang sedap mata memandang, iaitu cantik dan kacak. Kalau mampu, biarkanlah di beli rumah atau kereta yang besar itu. Kalau sudah jodoh, doakan masjid yang dibina bahagia. Janganlah pula bersangka yang bukan-bukan.

Bersangka baik atau husnuzon ni banyak kelebihannya dan sangat dituntut. Berapa banyak persahabatan yang musnah disebabkan prasangka buruk dan aktiviti cucuk-mencucuk syaitan bertanduk? Berapa banyak rumahtangga bergolak disebabkan sifat berprasangka ini? Berprasangka buruk seperti membuat fitnah kepada seseorang yang tidak bersalah. Mengatakan yang itu dan yang ini sekaligus mempengaruhi rakan-rakan di sekeliling.

Bayangkan situasi ini. Pak Dollah mempunyai gerai makan yang sudah diusahakan selama 3 tahun, tetapi baru-baru ini, perniagaannya yang dulunya hidup segan mati tak mahu tiba-tiba menerima keuntungan yang berlipat ganda. Ali, seorang lelaki marhen di kampung itu berasa pelik dengan keadaan tersebut, lalu terluahlah kata-kata ini kepada rakannya Abu, seorang penggaji awam berkolar putih. " Aku rasa, Pak Dollah pakai penarikla. Tengok kedai dia, tiba-tiba je ramai orang makan." Abu yang mendengarnya mungkin akan mengiyakan kata-kata Ali lalu menyebarkan kata-kata itu kepada rakan-rakan yang lain. Nah, betapa besarnya kesan prasangka buruk Ali kepada Pak Dollah, sedangkan Pak Dollah mungkin telah membaiki strategi perniagaannya dan menukar tukang masak baru yang lebih berwibawa.

Masalah ini telah membelenggu masyarakat kita buat sekian lamanya. Kalau situasi ini tidak diubah, maka berpecah-belahlah umat Islam. Sukar untuk kita maju ke hadapan. Ditindas dan diperlekehkan oleh orang lain. Mahukah kita diperlakukan seperti badut?

Bukan tidak boleh berprasangka buruk, tetapi biarlah bertempat. Perkara-perkara maksiat, jangan pula berbaik sangka. Jikalau sudah terang yang seorang Islam itu melakukan kesalahan seperti berjudi, jangan pula husnuzon.

Kesimpulannya, bersangka baik pada perkara yang sepatutnya. Jangan diikut bisikan nafsu dan syaitan, kerana hanya Allah yang tahu apa yang ada pada isi hati seseorang. Dan sebelum menjatuhkan hukuman kepada seseorang, risik, kaji dan cari maklumat mengenai sesuatu.

Peringatan ini adalah untuk saya yang sering khilaf. Bilamana hati ingin berprasangka buruk kepada keluarga, rakan, dan saudara sendiri, saya harap saya boleh selak kembali tulisan di blog ini dan mengingatkan diri akan buruknya sifat itu.

Wassalam.

P/s: Permulaan dan pengakhiran yang pelik kerana kesinambungan yang bercampur-aduk (berfoya-foya)