29 October 2013

Kekuatan Minda (uih meremang)

Minggu ini, sebelum sampai Shah Alam lagi,orang itu sudah berbisik pada diri sendiri, "Selagi tak habis benda ni, kamu jangan balik kampung!!" Kedengarannya sangat bersemangat. Memang bersemangat. Mana tidaknya, kerja yang sepatutnya siap ditangguhkan ke satu masa lain. Itu kuasa minda yang sedar.

Berkobarnya minda yang sedar itu membawa badan ke perpustakaan. Peluang menyiapkan kerja jauh lebih cerah berbanding di rumah. Berniat untuk bermalam di situ juga.

Menariknya, malam pertama sahaja sudah mengantuk tidak terkira. Diketuk-ketuk kepala, diratah gula-gula, diteguk air serakusnya tetap tiada kesan. Minda sudah menerawang ke mana, hinggakan perkataan Bahasa Inggeris dilihat Melayu. Lalu, diambil keputusan melelapkan mata seketika sambil melentokkan kepala di meja.

Pada ketika minda separuh sedar itu, datang pula fikiran mengatakan, "Liyana, kamu kentut." Dengan sedikit kesedaran yang ada, terus ditutup suis minda dan badan untuk kelihatan tidak sedar. Biar mereka tidak mengenali siapa orang itu, biar kisah itu terkenal melalui mulut-mulut orang tanpa mereka mengetahui siapa yang membuat onarnya. Biar, biar.

Heyyy....lain kali berhenti makan sebelum kenyang, bukan sampai berangin.

Atau, adakah ini rancangan kejam minda untuk meletakkan orang itu dalam situasi yang 'awkward'? Sedangkan tiada perkara sedemikian pun yang terjadi?Hanya Allah dan mereka yang duduk di kawasan sekitar yang mengetahui. Wallaua'lam.

18 October 2013

Itu

Semangat itu sudah hilang.
Hilang dipuput angin sore yang bertiup di balik dedaunan.
Mungkin perlukan motivasi,
mungkin perlukan sedikit semangat,
mungkin perlukan rasa marah daripada siapa-siapa.

Alasan, alasan, dan alasan.
Lagi, lagi, dan lagi.
Minda celaru, hati terpaku.

Hasilnya nanti?
"Jangan kau kata kau bertawakkal dan redha dengan apa yang diberi-Nya"
kerana kau tidak layak untuk bertawakkal lagi jika usaha mu tidak setinggi gunung, jika doamu tidak menggapai langit ke tujuh.