27 February 2013

Berubah

Meter kereta menunjukkan tanda kelajuan sudah mencecah 90km sejam. Namun, apabila ada kereta yang lebih laju mendesup memotong tanpa memberikan sebarang isyarat, dek kerana geram, ditekan pedal minyak naik ke 110km sejam. Tidak dikira keselamatan diri. Darah muda yang panas membara diikutkan, lalu berlakulah perlumbaan jalanan yang tidak memberikan apa-apa kesan melainkan keburukan sahaja.

Kejadian lain, sebuah kereta mewah tiba-tiba masuk ke laluan sebelah kanan tanpa memberikan isyarat lampu menyebabkan pemandu di belakangnya terpaksa menekan brek secara mengejut. Lalu berlakulah ngomelan tidak enak dilemparkan kepada pemandu kereta mewah tersebut yang mungkin pada dasarnya adalah bijak pandai jika dinilai hanya dari kereta yang dipakai.

Benarlah kata orang ke kata aku yang perangai orang itu akan berubah apabila tangan yang dua itu memegang stereng kereta. Kalau di luar kereta, perangai lemah lembut, sopan santun, baik budi pekerti, pendiam sahaja. Tapi bila sahaja stereng berada di genggaman, terbang semua nilai-nilai murni itu dihembus angin kencang yang masuk dari tingkap kereta. Terus hilang tidak terkesan. Bolehkah dinilai seseorang itu melalui pemanduannya?Hmmmm....teringat kata-kata seorang penceramah di tv. Seorang yang baik dan beriman, walau di mana sahaja berada, beliau akan sabar menghadapi setiap keadaan yang melanda, hatta di dalam kereta seorang diri pun.

Jadi, jikalau nak marah bilamana ada kereta yang sesat nak masuk line anda, silalah berfikir 5 sebab kenapa nak marah, dan kemudian fikirkan kembali, mungkin kita pernah berbuat perkara yang sama kepada orang lain. Bak kata Prof Muhaya, cuba muhasabah diri balik apabila kita dikelilingi orang-orang yang negatif. Mungkin kita sendiri yang negatif. Dan paling penting, bila nak marah, ingatkan diri, kalau Rasullullah s.a.w ada di samping kita, sanggupkah kita menunjukkan sifat mazmumah tersebut? Mesti langsung tak sanggup kan.

Sekarang sedang berusaha dengan giat untuk mengurangkan kecaman-kecaman hebat kepada pemandu lain, sebab bila memandu berseorangan, membebel sendiri seperti orang kedua yang menemani. Balik ke kampung kelmarin, saya menjadi orang yang sedikit sahaja baik. Moga berterusan, insyaAllah :)

Eh, kan dah cakap rajin nak balik kampung walaupun projek tak mula lagi.

No comments: